Wednesday, August 26, 2009

Al-Khattab bin Nufail al-Mahzumi

"Aku namakan anak ini Umar al-Khattab. Aku akan mendidiknya menjadi seorang pahlawan yang akan menebus maruah Bani Adi yang telah dikalahkan oleh Bani Abdul Syam dalam peperangan sebelum ini. Apabila besar kelak, Umar pasti akan memotong lidah-lidah penjilat darah itu"

Tuesday, August 25, 2009

UMAR AL-KHATTAB

Umar al-Khattab dilahirkan 42 tahun sebelum Hijrah. Usianya 12 tahun lebih muda dari nabi Muhammad s.a.w. Sebelum memeluk Islam, Umar merupakan orang yang paling kuat memusuhi Rasulullah s.a.w. Namun pada ketika umurnya 35 tahun, dia telah mendapat hidayah dari Allah s.w.t lalu terus memeluk Islam.

Nama sebenar Umar al-Khattab ialah : Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd uzza bin Ryah bin Abdullah bin Qurti bin Rizah bin Adiyyi bin Kaab.

Ibunya pula ialah Hantamah binti Hasyim bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar. Abu Jahal merupakan bapa saudara Umar dan semasa zaman kekufurannya, Umar dan Abu Jahal sama-sama memusuhi nabi Muhammad s.a.w.

Umar dianggap sebagai pahlawan bagi Bani Adi. Setiap kali berlakunya peperangan, Umar akan dihantar bagi mewakili kaum Quraisy. Umar dianggap sebagai seorang yang keras hati dn kejam. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup dan pernah suatu ketika hendak membunuh Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun, selepas memeluk Islam, hatinya yang jeras umpama batu itu bertukar menjadi selembut air. Sifat gagah, berani, keras hati yang ada pada dirinya kini digunakan pula untuk membela Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w menggelarnya al-Farouq kerana keberaniannya dalam menegakkan kebenaran.

Selepas kemangkatan Saidina Abu Bakar, Umar telah dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua. Belaiu meneruskan usaha dan rancangan khalifah Abu Bakar dalam memperluaskan jajahan takluk Islam disamping membebaskan umat Islam dari ancaman Rom dan Parsi.

Sepanjang tempoh pemerintahan selama 10 tahun 6 bulan 4 hari, beliau bukan sahaja dapat menundukkan kekuasaan Rom dan Parsi, malah telah memberi nafas baru dalam sistem pemerintahan Islam. Beliau menjadi pengasas kepada sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah Islam dan berjaya memajukan negara Islam.

Antara pembaharuan yang diperkenalkan oleh Umar semasa pemerintahannya ialah dengan memperkenalkan pasukan polis bagi menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta memberi bantuan kepada rakyat, termasuklah yang bukan Islam.

Banyak lagi jasa-jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai khalifah Islam kedua. Beliau dianggap sebagai pencetus kepada zaman keemasan negara Islam dan disanjung sepanjang zaman. Beliau di gelar "Reformis Dunia Islam".